Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan kepada orang ramai bahawa wang kertas siri baharu Malaysia akan berada dalam edaran mulai 16 Julai 2012. Wang kertas baharu ini adalah sah diperlakukan dan akan diedarkan bersama-sama dengan wang kertas sedia ada. Wang kertas sedia ada akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur. Orang ramai boleh mendapatkan wang kertas baharu ini melalui urus niaga biasa mereka.

Bertemakan 'Keunikan Malaysia', ciri-ciri yang mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi negara telah menjadi inspirasi dalam reka bentuk wang kertas siri terbaharu ini. Wang kertas siri baharu ini menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi wang kertas yang turut mengandungi ciri-ciri keselamatan yang lebih canggih. Ciri keselamatan wang kertas siri baharu ini termasuklah imej tanda bayang, tingkap pandang telus, potret tera air (watermark) dengan piksel dan angka, benang keselamatan dengan warna berubah-ubah, benang kanta mikro, tanda pandang telus dan petak kilat berwarna untuk memudahkan orang ramai mengenalinya. Golongan kurang upaya penglihatan boleh menggunakan ciri khusus seperti pengenalpastian secara sentuhan untuk mengenali dan membezakan denominasi yang berlainan.

Wang kertas siri baharu ini terdapat dalam denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100. Wang kertas RM20 telah diperkenalkan semula dalam siri baharu ini dan substrat polimer digunakan untuk wang kertas RM1 dan RM5. Wang kertas RM50 dalam siri ini telah pun berada dalam edaran sejak bulan Disember 2007 dan akan terus berada dalam edaran.

Bank Negara Malaysia ingin mengingatkan semua pihak berkaitan untuk mempercepat pengubahsuaian mesin mereka agar dapat menerima wang kertas siri baharu ini untuk kemudahan orang ramai.

Untuk maklumat lanjut mengenai wang kertas siri baharu ini, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK di 1-300-88-5465 atau menelefon 03 - 2698 8044 samb. 8658, atau melayari laman sesawang Bank Negara Malaysia di http://www.bnm.gov.my/.

Ciri-ciri keselamatan:
RM1

RM5

RM10

RM20

RM100

Lihat juga: http://www.bnm.gov.my/microsites/2011/banknotes/index_bm.htm


Nota Jemari: Selamat Menggunakan Wang Kertas Baru!! Duit raya, duit baru!